Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA dirasmikan
11/08/2025

 


Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan dan Pro-Canselor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) pagi tadi berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-15 di Kampus Sinaut, UNISSA, di sini.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr.) Haji Al-Muhtadee Billah di Dewan Al-Rayyan, Kampus Sinaut, UNISSA berkenaan dijunjung oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, selaku Pengerusi Majlis UNISSA; dan Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-15 UNISSA.

Bagi memberkati majlis, bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Sejurus itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda berkenan mengurniakan sabda perasmian dan seterusnya berkenan menyaksikan tayangan video pelancaran yang antara lain menzahirkan mengenai tema Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-15 iaitu 'Pembangunan Mampan Industri AgriHalal' (Sustainable Development of AgriHalal Industry), yang memaparkan peranan penting UNISSA dalam memajukan pembangunan mampan dalam industri AgriHalal di tengah-tengah kemunculan teknologi kecerdasan buatan dan cabaran global berkaitan keselamatan makanan serta integriti halal.

Sejurus perasmian, Duli Yang Teramat Mulia dijunjung untuk menandatangani Lembaran Kenangan perasmian Hafl Al-Takharruj yang Ke-15 dan seterusnya berangkat beredar menyaksikan pameran yang mempamerkan penyelidikan-penyelidikan yang dikendalikan oleh beberapa pelajar dari Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, Fakulti Pertanian dan Fakulti Teknologi Islam yang telah memenangi beberapa anugerah dari pertandingan-pertandingan inovasi antarabangsa.

Projek-projek yang dipamerkan meliputi pelbagai aspek seperti kelestarian alam sekitar, pemodenan dan kemajuan bidang pertanian dan pada masa yang sama memastikan ketersediaan dan keselamatan makanan yang mematuhi piawaian halal untuk memenuhi keperluan pengguna Islam.

DYTM seterusnya dijunjung untuk beredar menyaksikan pameran mengenai projek Pengenalpastian Morfologi, Meristik dan Molekul Ikan serta Kerang-Kerangan Marin dan Air Tawar Brunei di Banglo Dar al-Kindi, Kampus Sinaut.

Projek akuarium yang dijalankan pula menternak ikan hiasan seperti 'guppy', 'molly', 'platy' dan 'swordtail' dalam 18 tangki, berfungsi sebagai pusat penetasan, latihan, dan penyelidikan dan pembangunan bagi program akuakultur UNISSA.

Kemudian, DYTM berangkat ke kawasan Fish Hatchery yang telah dibangunkan oleh Pensyarah Fakulti Pertanian, Dr. Mohammad Bodrul Munir, yang merupakan usaha pertama UNISSA dalam pembiakan ikan air tawar seperti Tilapia, Ikan Keli, Patin, Karok ('climbing perch') dan Kap.

Inovasi ini diyakini dapat menyumbang kepada keselamatan makanan negara dan pembangunan industri akuakultur Brunei pada masa hadapan.

Turut menarik perhatian DYTM adalah pameran model Penghasilan Padi berkonsepkan Pertanian Bandar di mana projek ini memfokuskan penanaman padi berkonsepkan pertanian bandar melalui proses 'conditioning' tanah berasid di Negara Brunei Darussalam dengan bahan 'conditioner' organik daripada najis ayam yang dikitar semula di mana pendekatan penanaman padi berkonsepkan pertanian bandar adalah untuk memastikan penggunaan ruang tanah yang optimum.

Seterusnya DYTM kemudian berkenan berangkat ke kawasan projek mini akuaponik di bawah Halalan Thayyiban Student Society (HTSS) dengan penyeliaan Profesor Hamzah Md. Salleh yang menggabungkan ternakan ikan dan penanaman sayur dalam satu kitaran semula jadi.

Sebanyak 500 ekor ikan diternak dalam tiga kolam mini DIY yang sesuai ditempatkan di kawasan kediaman.

Projek penternakan ikan dan penanaman tanaman ini boleh dilakukan di halaman rumah sambil menawarkan potensi untuk menjana pendapatan.

Kemudian, DYTM turut dijunjung melawat Banglo Dar al-Khawarizmi yang mempamerkan Pengurusan Pengairan berasaskan Data Cuaca yang mempamerkan data cuaca automatik bersama mikro-lisimeter dapat menentukan keperluan air dalam tanaman padi.

Komponen utama dalam pengairan padi akan dapat dikuantifikasi melalui eksperimen yang dibuat dalam projek ini di mana ia menekankan kepentingan pengurusan air dalam penanaman padi dengan menentukan keperluan air bagi varieti padi tempatan untuk pengairan yang cekap dan berkesan.

Selepas itu, DYTM disembahkan dengan projek SMART Fish Solar Dryer yang terletak di Banglo Dar al-Haitham di mana sistem tenaga suria bertindak sebagai rumah hijau pada waktu siang dan akan menggunakan tenaga yang disimpan untuk menggerakkan unit pemanas pada waktu malam; ini adalah sebagai salah satu pendekatan mesra alam yang baharu dalam proses pengeringan ikan, dengan memanfaatkan tenaga suria.

DYTM turut dijunjung bagi melawat Rumah Hijau yang mempamerkan projek Fitoremediasi di mana projek rumah hijau berkenaan memfokuskan usaha meningkatkan produktiviti tanah padi dengan kaedah tambahan fitoremediasi menggunakan tanaman kangkung air untuk meneutralkan dan mendetoksifikasi tanah padi yang tercemar logam berat.

Tanah padi yang digunakan dikumpul dari kawasan Batong dan diperkaya dengan pindaan organik hasil pembangunan Fakulti Pertanian, UNISSA.

Selesai menyaksikan pameran, DYTM kemudian dijunjung berangkat beredar ke ruang lobi Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban bagi merasmikan Fakulti Sains Halal dan Pelancongan Mampan dengan penandatangan lembaran kenangan.

Seterusnya, acara Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-15 juga turut menjunjung DYTM untuk merasmikan sebanyak 33 buah buku terbaharu terbitan UNISSA dan berkenan menerima pesambah.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, DYTM berkenan menerima pesambah daripada Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA dan turut berkesempatan beramah mesra bersama tenaga akademik UNISSA dan pelajar-pelajar UNISSA.

Pelbagai aktiviti telah dijadualkan sebagai pengisian sepanjang Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-15 iaitu Karnival Kerjaya, program 'Halal Green: e-Waste management and Sustainable Campus', dan 'Halal Nougat Class' termasuk Bazar Tani Mahrajan Hafl Al-Takharruj UNISSA Ke-15 yang diadakan di Gimnasium UNISSA dan sekitarnya.

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk datang ke Mahrajan Hafl Al-Takharruj yang diadakan mulai 11 sehingga 14 Ogos 2025 bermula jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang di Kampus Sinaut, UNISSA, Daerah Tutong.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj Ke-15, dikendalikan bersama oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban dan Fakulti Pertanian, UNISSA, dengan tema 'Pembangunan Mampan Industri AgriHalal', menonjolkan komitmen UNISSA untuk menyumbang kepada ekonomi dan agenda pembangunan lestari negara melalui ilmu, penyelidikan dan inovasi dalam industri halal dan pertanian, ke arah menjamin sekuriti makanan dan integriti halal serta memperkukuh industri pertanian.

Mahrajan Hafl Al-Takharruj pada lazimnya dianjurkan setiap tahun bagi meraikan pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di UNISSA dan bagi memeriahkan lagi Majlis Hafl Al-Takharruj atau Majlis Konvokesyen UNISSA yang akan berlangsung pada 21 Ogos ini.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto